KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui mati selepas terjun dari tingkat 17 dalam kejadian di Blok 88, Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, mangsa, A. Khautaman, 26, disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala serta patah kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat satu mayat lelaki di bawah blok bangunan terbabit.
“Siasatan awal mendapati, mangsa keluar dari rumah seorang diri kira-kira pukul 8.30 malam dan menuju ke Blok 88 sebelum bertindak terjun.
“Bagaimanapun, setelah polis melakukan pemeriksaan, tiada sebarang unsur jenayah ditemui di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE