KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes penipuan penjualan telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini susulan laporan mangsa yang terlibat.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa, seorang penjual telefon bimbit telah ditahan dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan manakala seorang lagi masih dikesan.
Terdahulu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerusi sebuah portal berita telah mempersoalkan mengapa peniaga yang menipu tidak ditahan seolah-olah terdapat komplot yang berlaku.
Susulan itu, Tajudin berkata polis akan meneruskan dan menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan.
“Serbuan pernah dilakukan di kompleks berkenaan pada 27 Mac lalu dengan rampasan sebanyak 500 unit telefon bimbit disyaki palsu.
“Saya menegaskan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Pada 20 Dis lalu, sekumpulan individu dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di tingkat bawah kompleks beli belah itu dan klip video pergaduhan itu yang berdurasi dua minit 30 saat telah dimuat naik dalam YouTube dan menjadi viral dikalangan nitizen.