Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Kenalpasti Suspek Tikam Pemandu Teksi Warga Emas

$
0
0

image

KOTA BHARU 29 Dis. – Polis mengenal pasti identiti suspek yang disyaki terlibat dalam kes tikam seorang pemandu teksi warga emas di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor, di sini semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, identiti suspek yang berusia lewat 20-an itu diperoleh menerusi lakaran wajah yang dibuat dengan bantuan beberapa saksi di lokasi kejadian tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan mak­lumat daripada saksi, suspek adalah warga tempatan, berkulit gelap dan berbadan kurus.

“Polis sedang mempergiatkan siasatan serta mengumpul maklumat bagi mengesan suspek dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Semalam seorang pemandu teksi warga emas maut selepas diserang seorang penunggang motosikal menggunakan senjata tajam semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Sudin Awang, 67, yang memandu teksi Proton Wira sedang membawa seorang penumpang lelaki dikatakan datang dari arah Dewan Beta, di sini.

Suspek kemudian dikatakan ber­tindak memecahkan cermin depan dan belakang kiri kereta sebelum memaksa Sudin keluar dari kereta dan menikam mangsa dengan senjata tajam.

Tambah Mazlan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek berkenaan diminta tampil memberi maklumat kepada pihak polis.

“Kita juga masih menyiasat motif sebenar kejadian memandangkan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, musuh atau melakukan sebarang masalah,” katanya.

Mazlan memberitahu, hasil laporan bedah siasat yang diperoleh pihaknya, mangsa telah ditikam dari arah belakang sehingga menembusi bahagian paru-paru sedalam enam sentimeter.

“Mangsa juga mengalami kecederaan yang amat serius akibat berlaku banyak pendarahan. Kita memandang serius kes ini dan usaha mengesan suspek akan terus dipergiatkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Utusan Malaysia


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082